My Best Nuffnang

Need Another Language For This Site?

Wednesday 7 March 2012

Bagaimana Peti sejuk Menghasilkan Kesejukan?

Sama ada peti sejuk atau penyaman udara, ada empat komponen asas dan utama yang membentuk satu sistem penyejukan yang sempurna. Saya tidak akan membingungkan anda mengenai beberapa alat tambahan (accesories) bagi sesebuah sistem penyejukan. Saya hanya membawa anda meneliti empat, ya empat komponen asas dan utama, sehingga jika sistem penyejukan itu di-ON, ia mampu menghasilkan suasana yang  cukup nyaman bagi unit penyaman udara, dan kesejukan yang cukup sejuk bagi sebuah unit peti sejuk.


Pemampat (compressor)

Boleh dikatakan bahwa pemampat ibarat jantung kepada sebuah sistem penyejukan. Pemampat berfungsi sebagai pengepam dan pemampat bahan pendinginan atau refrigerant ke seluruh kitaran mekanikal sistem penyejukan tersebut. Pemampat akan memampat bahan pendinginan dalam bentuk wap yang bersuhu dan bertekanan tinggi ke pemeluwap melalui saluran kadar alir. Itu sebab kenapa saluran ini agak panas berbanding lain-lain bahagian pada sistem penyejukan.


Pemeluawp (Condenser)

Pemeluwap bertindak sebagai penyingklir atau pembuang haba sama ada ke udara sekeliling jika pemeluwap itu dari jenis sejukan udara, dan ke air jika pemeluwap itu jenis sejukan air. Soalnya ialah, bagaimana haba itu dibuang ke udara sekeliling? Sebaik sahaja bahan pendinginan yang bersuhu dan bertekanan tinggi memasuki pemeluwap, ia mula memeluwap. Proses pemeluwapan ini berlaku kerana adanya perbezaan suhu antara pemeluwap dan udara sekeliling, sekali gus haba yang ada di pemeluwap dipindahkan ke udara sekeliling. Prinsip pemindahan haba ialah, 'haba sentiasa mengalir dari panas ke sejuk" tidak kira apa jenis bahantara proses pemindahan haba yang digunakan.

Berbalik kepada pemeluwapan tadi; pembuangan atau pemindahan haba yang berlaku di pemeluwap mengakibatkan penurunan suhu bahan pendinginan tersebut. Penurunan suhu ini mengakibatkan bahan pendinginan bertukar bentuk dari gas atau wap ke bentuk cecair yang masih bersuhu agak tinggi sementara ia melalui sepanjang gelongan pemeluwap.

Bahan pendinginan sepatutnya sudah menjadi 100% cecair dan masih bersuhu tinggi apabila sampai ke hujung pemeluwap menghala ke peranti pemeteran.

Peranti pemeteran (Metering Device)

Peranti pemeteran merupakan saluran halus atau tiub rerambut (capillary tube) terbuat dari kuprum yang mempunyai garispusat yang kecil (hanya untuk sistem penyejukan domestik). Tujuan peranti pemeteran ialah mengawal dengan cara mencatu pengaliran bahan pendinginan ke seluruh sistem penyejukan khususnya pengaliran ke arah pencairwap.

Garispusat (diameter) peranti pemeteran ini cukup kecil sehingga apabila bahan pendinginan mengalir dari pemeluwap (garispusat besar) ke peranti pemeteran, perubahan tekanan sekali lagi berlaku. Di peranti pemeteran, bahan pendinginan dalam bentuk cecair dan bersuhu agak rendah tetapi tekanan menjadi lebih tinggi, akan mengalir dengan kederasan atau kelajuan yang cukup tinggi menghala ke pencairwap.

Pencairwap (Evaporator)

Pencairwap berfungsi sebagai penyerap haba. Bagaimana proses penyerapan haba berlaku di pencairwap?

Perubahan garispusat yang halus di hujung peranti pemeteran kepada garispusat yang besar di bukaan pencariwap mengakibatkan penurunan tekanan dan suhu kepada bahan pendinginan. Penurunan suhu ini mengakibatkan persekitaran gelongan pencairwap turut menjadi sejuk ditambah dengan suhu didih bahan pendinginan (R-134a) yang cukup rendah iaitu -26.3 °C di bawah takat beku.

Persekitaran dinding pencairwap yang sejuk membolehkan haba yang ada disekeliling menyerap masuk ke bahan pendinginan yang berada di dalam gelongan pencairwap. Haba datangnya dari bahan-bahan yang disimpan dalam kebinet peti sejuk, dan bagi penyaman udara pula, haba datangnya dari menusia dan mesin-mesin yang mengeluarkan haba dalam sesebuah sesebuah bilik. Ingat, haba sentiasa mengalir dari kawasan lebih panas ke kawasan lebih sejuk.

Haba yang diserap di pencairwap akan di'angkut' oleh bahan pendinginan ke pemeluwap dimana sekali lagi haba itu dibuang dan operasi ini berlanjutan selagi sistem penyaman udara atau peti sejuk itu dalam keadaan ON.


Bagaimana Peti Sejuk Mampu Menyejukkan Air Atau Mengeraskannya? 

Bagi sebuah peti sejuk,  ia dicipta untuk tujuan pembekuan walau pun ada juga yang dicipta untuk penyejukan sahaja. Soalnya bagaimana air yang disimpan boleh menjadi keras sekeras batu? Satu persoalan yang menarik!


Sebenarnya suhu rendah yang terhasil bukan penyebab semata-mata kepada pembekuan keras di ruang pembekuan sesebuah peti sejuk. Ketiadaan haba pada ruang tersebutlah yang menyebabkan sebarang bentuk cecair akan menjadi keras! Sebagai contoh, air menjadi pepejal apabila suhu menjadi rendah ke 0°C dan mula cair pada suhu yang sama kerana kehadiran haba pendam jika proses pembuangan haba terhenti misalnya jika peti sejuk itu dihentikan. Samalah halnya dengan daging atau bahan lainnya jika disimpan diruang pembekuan peti sejuk: semuanya akan jadi keras. 


Bagaimana Penyaman Udara Mampu Menyamankan Sesebuah Bilik?

Prosesnya sama dengan apa yang berlaku pada sesebuah peti sejuk. Cuma sahaja sistem penyaman udara dicipta khas hanya untuk menurunkan suhu sesebuah bilik itu kepada tahap suhu yang bersesuaian dengan suhu badan manusia ynag menghuni sesebuah bilik tersebut.

Terima kasih kerana anda senang membaca entry ini. Jika ia menafaat kepada anda, silalah komen ya ...

Tapi jangan lupa, entri saya yang akan datang akan lebih menarik lagi dengan persoalan yang hampir serupa tetapi berbeza. Bagaimana daging atau ikan yang segar yang disimpan dalam peti sejuk boleh tahan lebih lama berbanding jika ia hanya disimpan dalam keadaan biasa?

No comments:

Post a Comment